Wednesday, December 9, 2009

Isu "Bini Puaka" di UM

"Seorang lagi pelajar Universiti Malaya yang dikehendaki polis berhubung siasatan kes menconteng perkataan "bini puaka" di dewan kampus itu berjaya ditahan semalam. Muhammad Aizat Roslan, pelajar jurusan syariah Akademi Pengajian Islam (API), ditangkap di sebuah kafeteria akademi kira-kira 1 tengah hari semalam. Sekurang-kurangnya tiga anggota polis berpakaian biasa - dipercayai dari ibu pejabat polis daerah Brickfields - kelihatan menahan, dan kemudian menggari, mahasiswa tahun dua itu. Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Zulhazmi Shariff – peguam Muhammad Aizat – mengesahkan bahawa pelajar API itu ditahan reman selama dua hari."

Berikut adalah antara ulasan dari laman web Malaysiakini mengenai penahanan pelajar Akademi Pengajian Islam UM berikutan insiden pada 24 Jun lalu. Insiden tersebut melibatkan menconteng dinding pada pintu masuk bilik kuliah utama API dgn perkataan "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" serta menyimbah petrol pada permaidani yang akan digunakan oleh isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor beberapa jam sebelum program yang akan dihadirinya. Turut ditahan ialah Mohd Izzudin Hilmi 21, Mohd Syahruldeen 21, serta Shazmi Munir (presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM) sementara seorang lagi masih dikehendaki Polis.

Izzudin dan Syahruldeen dituduh dgn pertuduhan 427 (kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25), 436 (kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda), 447 (menceroboh) dibawah Kanun Keseksaan dan masing-masing membawa hukuman 2 tahun penjara, 20 tahun penjara, dan 6 bulan penjara jika sabit kesalahan.

Selain itu mereka turut dituduh dibawah akta JPJ, menunggang motosikal dengan nombor pendaftaran yang sukar dilihat dan membawa hukuman denda RM3000. Perbicarakan mereka dijadualkan akan diadakan pada 7 Disember. Penahanan Izzudin dan Syahruldeen pada 25 Jun, Shazmi Munir pada 17 Julai, dan Muhammad Aizat pada 13 Ogos ini menimbulkan pelbagai spekulasi.

Turut ditahan dalam insiden berlainan ialah 7 mahasiswa termasuk 2 wanita dari Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) serta Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema) berikutan perhimpunan untuk menyerahkan memorandum kepada kedutaan Thailand bagi membantah keganasan terhadap rakyat Islam Thailand di selatan negara itu.
Selain KAMI dan Dema, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) akan hadir di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Jalan Raja Laut bagi membuat aduan berhubung isu anggota polis berpakaian biasa, tanpa menunjukkan kad kuasanya dan juga waran tangkap, menayangkan senjata apinya yang terselit di pinggang sewaktu menahan suspek.
Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM, yang ditahan reman selama tiga hari sejak 17 Julai lalu, juga diminta mengulas gagasan "1Malaysia" yang dipromosikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Shazmi Munir menyatakan beliau ditanya dengan pelbagai soalan yang tidak munasabah sewaktu disoal siasat.

"Saya difahamkan penahanan saya untuk membantu siasatan berhubung contengan anti-Rosmah. Tetapi soalan yang ditanya tidak menjurus kepada isu contengan, sebaliknya berhubung persepsi dan pandangan saya tentang isu semasa. Ia satu tindakan yang tidak wajar, menyebabkan saya berasa teragak-agak untuk memberi kerjasama dengan pihak polis," katanya Pelajar yang berasal dari Segamat itu juga mendakwa sewaktu disoal siasat. Beliau turut diberi amaran supaya menghentikan kegiatan aktivisme mahasiswa. "Jika tidak berhenti dalam aktivisme, ada cadangan untuk meng-ISA-kan saya," katanya.

IGK dapat tahu perkara ini setelah membaca salah satu pos dlm discussion group Friendster Kisas 04-05 oleh saudara Izzudin Akmal a.k.a iesutin mengenai penahanan pelajar tersebut yang dikhuatiri salah seorangnya ialah Muhammad Aizat Roslan a.k.a Nuay, salah seorang pelajar KISAS SPM 05. Din turut menyatakan dia mendapat tahu dari saudari Huda mengenai perkara tersebut. Perkara ini turut disahkan oleh saudara Yazid.

Bagi sesiapa yang mengenali Nuay, adalah sesuatu yang agak tidak munasabah untuk dia dikaitkan dengan pertuduhan sedemikian kerana dia dikenali sebagai seorang yang baik dan tidak pernah menimbulkan masalah, lainlah seperti penulis yang selalu fly, panjat pagar dan ponteng kelas semasa di KISAS.

IGK mengharapkan agar Nuay dibebaskan dari pertuduhan tersebut dengan secepat mungkin dan dapat meneruskan pengajiannya di API. Marilah kita semua berdoa agar beliau dibebaskan dengan segera.

Berikut adalah laporan akhbar mengenai perkara ini setelah perbicaraan pada 7 Disember lalu:
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2009/12/8/courts/5255546&sec=courts,

Temuramah bersama Puan Anis (SPM 05)




Assalamualaikum


Bagi melengkapkan sesi temuramah IGK kepada pasangan-pasangan yang baru sahaja berkahwin, dengan ini IGK menyertakan temuramah kedua dan kali ini adalah dari pasangan Anis dan Wasri. Kedua-duanya adalah bekas pelajar KISAS dan telah berkahwin pada Mac tahun ini. Kisah cinta antara dua insan ini mungkin lebih dekat dengan kita lantaran mereka berdua adalah pelajar KISAS, mungkin antara kita ada yang sedang mencuba nasib sekarang dengan pasangan dari tempat yang sama. Walaubagaimanapun, mari sama-sama kita ikuti hasil temuramah. Renungkan cabaran yang telah dihadapi oleh pasangan ini.

IGK : Apakah perasaan anda setelah bergelar seorang isteri?
Anis : Alhamdulillah… Selesai sudah satu perkara yang sangat besar dalam hidup, lega, bersyukur sangat-sangat walaupun segalanya berlaku sangat cepat dan tiada perancangan untuk menamatkan zaman bujang seawal ini..

IGK: Bagaimana anda bertemu dengan pasangan anda?
Anis: Kami bertemu di bumi waqafan (KISAS)

IGK: Apakah perbezaan rutin harian setelah bergelar seorang isteri?
Anis: Rutin harian agak berlainan daripada waktu single, sekarang tanggungjawab dah teralih pada suami, pada rumah tangga. Lagipun saya masih lagi bergelar student, jadi rutin harian sebagai pelajar, isteri, anak, dan menantu dalam satu masa memerlukan komitmen yang sangat tinggi. Sebagai anak bongsu dalam keluarga, mungkin saya agak independent, namun, bila memasuki alam keluarga suami, saya perlu menjadi lebih matang memandangkan suami anak pertama dalam keluarganya, ini menjadikan saya perlu mainkan peranan sebagai anak sulung. Sebagai isteri yang masih belajar, walaupun saya tinggal di kolej, saya tetap akan luangkan masa hujung minggu bersama suami. Alhamdulillah suami pun memahami keadaan saya dan banyak membantu serta memberi tunjuk ajar kepada saya.

IGK: Bagaimanakah strategi pengurusan kewangan keluarga?
Anis: Kewangan tak begitu stabil, jadi kena la berjimat selalu. Suami saya bekerja sambil belajar, jadi boleh menampung kami berdua sekadar termampu.

IGK: Sempena dengan hari raya Aidilfitri yang lalu, bagaimanakah perancangan pulang ke kampung untuk berhari raya?
Anis: Hari raya aidilfitri dan aidiladha setakat ni di kampung halaman saya di Terengganu. Memandangkan kami sekarang tinggal bersama keluarga suami, jadi suami pun tak kisah bila memilih kampung halaman saya untuk beraya. Tahun-tahun akan datang belum tentukan lagi mcm mana.

IGK: Cabaran yang telah dan sedang dihadapi.
Anis: Cabaran yang telah dihadapi sangat banyak dan agak berat terutamanya di awal gerbang perkahwinan. Memandangkan kami belum betul-betul bersedia untuk melangkah sejauh ini, namun kami terima segala ketentuan Ilahi dan menerima segalanya dengan hati terbuka, dan Alhamdulillah atas usaha dan tolak ansur antara kami, segalanya dapat ditempuhi bersama.

IGK: Perkahwinan adalah perkara yang amat membahagiakan. Apa komen anda?
Anis: Saya rasa perkahwinan amat membahagiakan apabila pasangan sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur, memahami, sabar dengan apa-apa ujian dan dugaan dan yang paling penting adalah cinta serta kasih sayang suami isteri bagi memastikan kerukunan rumah tangga sentiasa terpelihara. InsyaAllah, setiap halangan dan dugaan yang mendatang pasti akan dapat ditempuhi.

IGK: Family planning
Anis: Soal anak masih lagi dalam pertimbangan. Setakat ini kami masih belum bersedia untuk mempunyai cahaya mata memandangkan kami masih lagi memegang status sebagai pelajar.
Perancangan untuk mempunyai cahaya mata mungkin selepas segalanya stabil,dari segi kewangan, pengurusan dan persediaan sangat perlu kerana cahaya mata adalah anugerah dan amanah Allah. Seandainya mempunyai cahaya mata pada saat belum bersedia, saya takut kami tak mampu menunaikan amanah dan tanggungjawab sebagai ibu bapa dengan sebaiknya. Namun seandainya Allah kurniakan rezeki cahaya mata, kami terima dengan hati terbuka.

IGK: Boleh anda ceritakan secara ringkas detik-detik penting bermula dari pertemuan sehingga ke saat diijabkabulkan.
Anis: Detik pertemuan bermula apabila suami menghubungi saya selepas tamat persekolahan di KISAS. Memandangkan saya tidak pernah mengenali suami atau pun sedar kewujudannya sewaktu di KISAS, jadi saya endah tak endah. Dua tahun selepas suami mencuba,akhirnya saya bersetuju untuk berkawan dengan suami. Nak dijadikan cerita, saya tidak sihat kerana buatan orang yg dengki (sebabnya mungkin kerana keluarga saya tak setuju andai saya memilih dia sebagai pasangan hidup).


Saya sendiri tak menyedari waktu itu saya di bawah pengaruh apa sehinggakan saya buat keputusan untuk berkahwin dengan lelaki tersebut. Keluarga saya mencuba dengan pelbagai cara dan suami mencadangkan supaya hantar saya berubat di darussyifa'. Akhirnya, setelah sembuh, saya tarik balik keputusan utk berkahwin dgn lelaki tersebut. Oleh kerana keluarga saya masih bimbang saya akan diganggu lagi, akhirnya suami meminta izin dgn keluarga saya utk menjaga saya. Keluarga saya bersetuju namun hanya jika kami mempunyai hubungan yg halal sahaja, dan suami bersetuju utk menjadikan saya sebagai isterinya (wlaupun saya tahu pada saat itu suami saya langsung tak bersedia untuk mempunyai isteri, namun atas dasar kasih sayang dan amanah, dia redha dan terima sagalanya dgn hati terbuka).


Tanggal 31.01.09, pertunangan kami berlangsung dan kami selamat diijabkabulkan pada 13.03.09, walaupun perkahwinan ini agak nampak terlalu cepat, namun Allah telah tetapkan jodoh kami pada usia ini dengan mendatangkan ujian yang maha hebat sebelumnya. Pada saat awal perkahwinan, kehidupan sebagai sepasang suami isteri agak sukar bagi saya dan suami mgkin kerana kami tidak begitu memahami antara satu sama lain, dan Alhamdulillah, setelah melalui hidup ini bersama, kami akhirnya saling memahami dan belajar untuk membina rumahtangga yang lebih bahagia. Alhamdulillah, kami belajar menerima seadanya dan insyaAllah cinta sampai akhir usia. Ameen...

IGK: Apakah nasihat anda kepada mereka yang belum lagi berkahwin dan belum mempunyai pasangan & juga untuk mereka yang sudah pun mempunyai pasangan?
Anis: Kepada mereka yang belum berkahwin dan belum punya pasangan, tak perlu tergesa-gesa dan tak perlu risau anda tidak mempunyai pasangan hidup, kerana kita takkan dapat menjangka perancangan Allah pada kita. Sampai saatnya, pasti jodoh akan tiba. Banyak-banyakkan berdoa…

Mereka yang sudah ada pasangan, cepat-cepatlah cari jalan yang lebih baik supaya tak terdorong dgn maksiat atau sebagainya. Pasangan yang hangat bercinta. Berhati-hati! Apa yang penting, pandai-pandailah jaga diri dan sentiasalah berdoa mohon petunjuk dariNya...

Akhir kalam, saya hadiahkan kata-kata ini sekadar tatapan semua…:

Ramai orang berpandangan,

Kita perlu bercinta untuk mengenal pasangan,

Tanpa perkenalan,

Mustahil cinta bertandang,

Tanpa percintaan,

Mustahil keserasian dikesan,

Mereka sebenarnya terlepas pandang,

Dalam Islam ada taaruf dalam tempoh risik dan bertunang,

Yang melibatkan mahram bukan berdua-duaan,

Taaruf itulah mendedahkan keserasian,

Cuma takrif ‘taaruf’ dan ’serasi’ dalam fikiran manusia berlainan,

Islam mengajar manusia taaruf yang ada sempadan,

Terpelihara dan terjaga dari kemaksiatan,

Bukan taaruf melalui bercinta sakan,

Islam mengajar serasi dengan ajaran Tuhan,

Bukan serasi dengan kehendak pasangan,

Cinta al-Rahman menjana kebahagiaan,

Lantaran itulah,

Batasan-Nya tidak boleh dipermainkan.