Sudah 22 tahun kami hidup, 22 tahun kami sama meranduk pelbagai acara. Organisernya Allah dan participantsnya ialah sekelian manusia, yang kami kenal kami panggil sahabat, keluarga pula adalah yang sedarah dengan kami. Dan sekelian participants lainnya kami cuma sapa biasa-biasa sahaja.
22 tahun kami bersama berinteraksi, setiap acara yang disertai pasti memerlukan kerjasama yang rapat. Jadi boleh kata kami ni amatlah akrab, tidak dapat berpisah. Tapi pepatah kata sedangkan lidah lagikan tergigit, begitu jugalah kami, bahkan selalunya begitulah kami...
Kami adalah dua unsur, hati yang sahabat dan keluarga kami tak nampak, dan yang mereka nampak pula, mereka panggil badan. Jadi kami adalah hati dan badan. Kami akrab, begitulah kami, bahkan setiap masa begitulah kami. Akrab.
Jadi setelah 22 tahun, badan masih lagi dungu. Kadang-kadang apa yang sudah berulang-ulang kali dikata tak boleh buat tapi dibuat jugak. Badan degil, badan suka ikut nafsu. Nafsu tu dari kecil lagi kami tahu dia suka cari pasal. Dia selalu olok-olokkan badan, tipu, perdayakan, goda, badan pula memang fitrahnya mahukan semua benda yang disogokkan tu, maka nanti walaupun kami akrab, akan tetap jualah berbalah. Itulah sebabnya kami guna pepatah sedangkan lidah lagikan tergigit tu. Akrab tapi selalu berbalah. Nafsu puncanya.
Setelah 22 tahun ni, kami sudah banyak faham pelbagai benda. Kami mula faham pelbagai tuntutan dan tanggungjawab. Jadi selepas 22 tahun bergelut, kami rasa untuk baki waktu yang seterusnya, yang kami langsung tak pasti tu, kami nak supaya sudah tiada perbalahan lagi. Rugi nanti asyik berbalah, takut tak sempat bermaafan dan berdamai. Jadi setelah 22 tahun ni, kami teringat balik kepada konsep dosa dan pahala, redha Allah dan murka Allah. Kata kunci antonim-antonim ini ialah takut. Minggu lepas kami pergi ceramah, takut tu lebih sesuai dirujuk sebagai taqwa.
Kami mahu tahu, sampai bila mahu takut? Sampai bila mahu bertaqwa? Selalunya selepas bergaduh, kami akan berdamai sekejap, masa tu perintah Allah kami buat dgn elok, tapi selepas tu mula la, kadang-kadang badan tengah solat, hati entah pergi main apa dekat tempat lain, bukannya nak fokus. Lepas tu ada masa hati meronta-ronta marah dekat badan jangan buat benda jahat, badan tetap degil jugak. Yang buat kami berdamai tu ialah rasa takut, lebih tepat penceramah tu kata taqwa kepada Allah.
Jadi kami buat kesimpulan, kalau kami dapat jaga taqwa tu, kami akan sentiasa damai. Tapikan, selepas kami dah solat, cukup syarat, lepas tu jemaah pula. Kami akan rasa tenang. Seminggu dua lepas tu kami dah tak rasa takut dah, kami tenang. Tapi kami keliru... Tak boleh ke kami nak rasa tenang lama sikit? Sebab nanti bila kami dah macam betul-betul tenang, dah tak takut, mula lah salah satu dari kami buat hal. Jadi selama 22 tahun ni kami hidup dalam kitaran yang sama. Kami dah betul-betul rasa putus asa, rasa lemah, tak berdaya, jemu dan meluat dengan keadaan kami ni.
Lalu kami terfikir, rupanya jangan rasa tenanglah, biarlah tenang tu ada ke tak ada pun, kalau Allah nak bagi, maka tu hak Dia, tapi yang utama kami kena rasa takut setiap masa. Dah solat dengan baik pun, kami kena rasa takut, sebab esok lusa mungkin kami ingkar lagi. Dah sedekah pun, kami kena takut juga, sebab takut nanti esok lusa kami jadi bakhil lagi. Dah puasa pun, esok lusa mesti kami akan diuji lagi.
Dari 22 tahun yang lalu lagi sepatutnya kami tahu hal ni. Kami tak boleh hilangkan rasa takut tu. Sebab bila hilang, Allah tahu kami dah rasa yakin sangat dengan diri kami sendiri, dah rasa cukup tenang dah, lalu Allah akan murka sebab kami sombong. Tapi betullah penceramah tu kata, bukan senang nak sedar walaupun perkara yang nampak ringkas, 22 tahun sudah. 22 tahun merana. 22 tahun dalam dosa. 22 tahun dalam nista...
Kami takut,
kepada pengakhiran kami...
Rupanya kami kena takut sampai ke mati.
0 pendapat geng:
Post a Comment