Thursday, November 26, 2009

Cerita tentang Nana dan Suami



Assalamualaikum,

Harap maaf kerana membiarkan saudara-saudari semua lama menunggu kehadiran pos ini. Kami cuba janjikan yang terawal tetapi lantaran pelbagai masalah yang dihadapi, kami tidak dapat mengelakkan kelewatan entri ini. Di sini kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pn Raihana kerana sudi meluangkan masa beliau untuk bersama-sama berkongsi ilmu dan pengalaman beliau kepada kita semua. Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita membaca dan mengambil manfaatnya.

IGK: Apakah perasaan anda setelah bergelar seorang isteri?
Nana: Lega, tenang, gembira, bahagia, bersyukur

IGK: Bagaimana anda bertemu dengan pasangan anda?
Nana: Bersekolah di sekolah menengah yang sama

IGK: Apakah perbezaan rutin harian setelah bergelar seorang isteri?
Nana: Pening sangat. Sebab pegang banyak tanggungjawab sekaligus. Tanggungjawab dengan Tuhan, kemudian tanggungjawab utk diri sendiri, sebagai pelajar, sebagai isteri, sebagai ibu, dan sebagai anak (kerana masih tinggal dengan ibu bapa). Lepas tu kena jaga hati & perasaan suami, bukan fikir diri sendiri je lagi.

IGK: Bagaimanakah strategi pengurusan kewangan keluarga?
Nana: Berjimat cermat selagi boleh, menabung, dan beli banyak masa PROMOSI/SALE walaupun barang tu belum nak guna lagi. kui3..

IGK: Sempena dengan hari raya Aidilfitri yang lalu, bagaimanakah perancangan pulang ke kampung untuk berhari raya?
Nana: Bergilir. 4 hari di rumah mertua (Kerteh, Terengganu). 2 hari puasa, 2 hari raya; 4 hari di kampung sdri (Masjid Tanah, Melaka). Sebab raya puasa dah dekat rumah mertua jadi raya haji dekat kampung saya pulak. Kemudian sebaliknye pulak untuk tahun depan & begitulah seterusnya =)

IGK: Cabaran yang telah dan sedang dihadapi.
Nana: Sebab masih belajar memang agak sukar la nak membahagikan masa untuk banyak-banyak tanggungjawab yang kita pikul tu. Cabaran untuk menjaga maruah diri sendiri, suami, dan keluarga. Cabaran untuk menjaga hubungan baik dengan keluarga mertua & ipar duai sebabnya saya yang paling muda, kadang-kadang sebab kahwin muda perangai "childish" tu masih ada tapi kena kawal la, jangan sampai memalukan diri sendiri huhu. Cabaran untuk mjadi seorang ibu, menuntut kesabaran yg TERAMAT la tinggi. =p

IGK: Perkahwinan adalah perkara yang amat membahagiakan. Apa komen anda?
Nana: Amat setuju sekiranya kedua-dua belah pihak berpegang teguh pada agama, faham & melaksanakan tanggungjawab & amanah yg dberikan Allah serta saling memahami & bertolak ansur antara suami isteri dan dalam keluarga, insyaAllah

IGK: Family planning
Nana: Asalnya nak dapat anak lepas grad, tapi dah 'TER'dapat jgk, nak buat macam mana, Allah nak bagi rezeki awal, terima jela dgn hati terbuka & penuh kesyukuran =) Sbb anak 1st da caeser, so nak tak nak kena jarakkan minimum 2 tahun dengan next birth, sebab takut perut tak mampu nk tanggung beban masa mengandung & terbuka jahitan masa nk bersalin.

Plan nak dapat next baby bila Farid dah 3 tahun, jadi bila dia dapat adik dia dah nak masuk 4 tahun, kira dah boleh la berdikari dan takdela macam tak cukup kasih sayang dari mak ayah dia sebab dah merasa jadi anak tunggal 3 tahun lebih huhu.

Impian mana-mana ibu bapa pun menginginkan segala yang terbaik buat anak mereka, dan kami mengharapkn supaya Farid akan menjadi seorang hafiz & tokoh agama yang terkemuka 1 hari nanti insyaAllah. Begitu juga dengan anak kami yang lain semoga semuanya berjaya di dunia dan akhirat =)

Perancangan untuk rumah sendiri tu ada, tapi tak tahu lagi dekat mana sebab masing-masing belajar dan kerja tak tentu tempat lg. Tapi kalau boleh nak beli tanah je dulu kemudian design rumah sdri, tak nak beli yang dah siap, tak best huhu.

IGK: Boleh anda ceritakan secara ringkas detik-detik penting bermula dari pertemuan sehingga ke saat diijabkabulkan.
Nana: Mula mengenali suami apabila diperkenalkan oleh abang angkat. Biasalah zaman muda-muda dulu, ber'angkat' ni. kui2. Kebetulan pulak adik saya satu dorm dengan suami ni, jadi suami buat-buat baiklah dengan adik. Take care of my brother bila dia demam, siap call my mother lagi bagitahu yang my brother ni tak sihat. Punyalah concernnye. Padahal nak tackle kakak dia haha. Lepas tu macam biasalah start telefon-telefon ni ni dan berbalas-balas surat letak dlm laci bawah meja kat dalam kelas. Kelakar betul bila ingat-ingat balik. Yela zaman budak-budak... hehe.

Nak dijadikan cerita masa tu baru je dikecewakan dengan 1st love la kononnye. Sejak dari tu berazam tak nak bercinta sampailah nak kahwin nanti. Tapi disebabkan suami ni tersangtlah keras kepala, orang kata tak nak couple dia nak jugak, jadi terpaksalah berpura-pura cinta kat dia. Adalah dalam 2, 3 bulan jugak sebab takut result SPM dia jatuh kalau kena reject. huhu. Lepas pada tu baru la betul-betul boleh terima dia. Tapi saya cakap dekat dia, saya tak suka bercinta saja-saja tanpa hala tuju & matlamat ni, jadi saya kata kalau betul nak dekat saya, janji yang dia akan kahwin dengan saya satu hari nanti, hehe. Daring punya statement. But he accept and promise to do that so I accept him as my special bf.

Dalam masa 5 tahun bercinta tu banyak kali jugaklah kami mintak kahwin dari my parents tapi tak berjaya. Sebelah dia ok je sebab dia anak bongsu dari 8 beradik, kebanyakkannya dah berkahwin. Lastly kami tak kira bagi ke tak bagi kami pergi je kursus kahwin walaupun tak tahu lagi dapat ke tak kahwin. huhu. Lepas tu 1 Mei (labour day) masa tu suami cakap parents dia nak datang ingatkan saja-saja je pasal masa tu pun tengah sibuk final exam. Rupa-rupanya datang nak merisik. Terkejut jugak la masa tu sebab tak sangka. huhu. Kami memang malas nak tunang ni. Buang masa dan bazir duit je. huhu. Jadi pada 07/06/08 tu, kami terus bernikah dkt Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Tapi hanya panggil saudara mara terdekat je sebab bilik nikah tu muat untuk 60-70 org je & akhirnya bersanding pada 27/12/08.


IGK: Apakah nasihat anda kepada mereka yang belum lagi berkahwin dan belum mempunyai pasangan & juga untuk mereka yang sudah pun mempunyai pasangan?
Nana: kepada yang belum berkahwin:
Cepat-cepatlah kahwin. hehe. Nanti lagi senang nak buat dan dapat pahala. Sebab pandang suami/isteri kita dengan kasih sayang pun dah dapat pahala, apatah lagi kalau pegang tangan dia or so on, pendek kata kalau dah kahwin ni insyaAllah kita dapat memelihara iman kita.

kepada yang belum mempunyai pasangan:
Banyak-banyakkan bersabar dan tak payah sibuk-sibuk lepas pada ni terus nak cari pasangan mentang-mentanglah tengok semua orang dah ada pasangn masing-masing. huhu.
InsyaAllah kalau dah sampai seru dan jodoh tu adalah =)

kepada yang sudah pun mempunyai pasangan:
Haa kategori yang ni pun cepat-cepatlah kahwin, buat apa tunggu lama-lama, nanti makin lama tunggu makin banyak dosa dan hati pun tak tenang.Tapi make sure la persediaan mental tu PALING & TERAMAT la penting bila dah bergelar suami/isteri ni.

Seperkara lagi yang mesti diingat, bila kita dah berkahwin tu, janganlah lupa terus dua insan mulia yang telah menyebabkan kelahiran kita ke dunia, balaslah jasa mereka sedaya mungkin selagi mereka masih ada & kasihilah mereka sepenuh hati sebagaimana mereka mengasihi kita sedari lahir hatta sehingga kita sudah berumah tangga sekalipun.

Bagi para suami, bagaimana sayang pun kalian terhadap isteri, ingat kita masih ada ibu & ayah yang perlu dikasihi & syurga tu masih di bawah telapak kaki ibu, bukan telapak kaki isteri.

Kepada yang bakal bergelar isteri, walaupunn syurga tu di bawah tapak kaki suami & bergantung pada keredhaan suami anda, itu tak bermakna untuk anda membuang jauh-jauh dua insan mulia y telah mendidik & membesarkan kita sehingga kita jadi seperti diri kita yang sekarang ni.

Lagi satu, kalau nak kahwin tu maklum-maklumlah dekat kawan-kawan ye. huhu.

Akhir sekali,
“SELAMAT MENEMPUH GERBANG PERKAHWINAN!!” bersama-samalah kita mencari mardhatillah.. =)

Sekian tamat sudah wawancara, ingat pesan Nana, tuntut ilmu biar penuh di dada dan bersedia sedaya mungkin sebelum berumah tangga. Wallahua'lam...



Muhasabah : Makna Takbir dan Korban Aidil Adha





Umat Islam seluruh dunia akan sama-sama menyambut kemuliaan Aidil Adha ini, sama ada yang sedang menunaikan fardu hajii di tanah-tanah suci, ataupun di tanah air masing-masing, semangat takbir yang dilaungkan pada 10 - 13 Zulhijjah setiap tahun, mengandungi pengajaran yang amat besar dan meninggalkan kesan mendalam dalam sanubari umat Islam.

Ini kerana laungan takbir yang dilaungkan pada hari-hari berkenaan, bertujuan untuk membesarkan Allah SWT di atas segala nikmat yang dianugerahkan kepada semua. Justeru, sepatutnya setiap diri daripada kita yang mengaku Islam, perlu mengetahui secara mendalam pensyariatan laungan takbir pada malam hari raya.
Ia adalah untuk mengisytihar, bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang tidak pernah sama memungkiri janji-Nya terhadap hamba-Nya Muhammad untuk memenangkannya dalam medan pertempuran menghadapi pihak musuh (pasukan al-Ahzab) yang terdiri daripada puluhan ribu tentera menghadapi tentera Islam yang kecil jumlahnya.

Sesungguhnya laungan takbir mempunyai makna tersendiri yang mesti difahami dengan jelas oleh setiap individu muslim yang beriman bahawa Allah adalah Tuhan mereka, iaitu menjelmakan kefahaman bahawa Allah adalah segala-segalanya seperti maksud di bawah ini :

1- Kita percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, kita juga percaya bahawa tiada undang-undang yang lebih hebat daripada undang-undang-Nya.

2- Kita meyakini bahawa setiap masalah yang timbul adalah daripada-Nya dan jalan penyelesaiannya juga adalah daripada-Nya.

3- Kita mesti beradab dengan kitab suci al-Quran tanpa ada sebarang perasaaan ragu atau syak terhadapnya.

4- Kita hanya tunduk kepada Allah dan agama-Nya (Islam) sahaja, serta menjauhkan diri daripada menganut ajaran atau fahaman yang tiada kena mengena dengan Islam.

5- Kita berjanji untuk menunaikan segala sumpahan kita terhadap-Nya seperti lafaz dalam doa iftitah, al-Fatihah dan doa Qunut.

6- Pasrah hanya kepada Allah dengan menyanjung tinggi serta mendaulatkan undang-undang Islam yang lebih tinggi daripada undang-undang ciptaan manusia yang serba kekurangan.

7- Menjadikan Allah matlamat dalam kehidupan kita termasuk ungkapan, tindakan dan keputusan yang dibuat.

8- Meyakini bahawa segala bencana yang menimpa adalah atas kesilapan kita sendiri dan termasuk dalam senarai qada dan qadar Allah.

9- Merasa takut dan cemas akan ancaman Allah.

10- Takut kepada azab api neraka.

11- Tidak memilih pemimpin yang menyalahi Syariat Islam, sama ada dari sudut perbuatan, tingkah laku, percakapan dan lain-lain.

12- Tidak terdetik sedikitpun dalam hati untuk tidak percaya kepada Allah pada undang-undang, hukuman dan sebagainya.

13- Menjadikan rumah Allah sebagai tempat mengembalikan kemuliaan Islam dalam segenap aspek dan bukan hanya tempat untuk beribadat semata-mata.

14- Mensuci dan membesarkan Allah pada sifat-sifat serta nama-nama-Nya.

15- Meyakini bahawa Allah tidak membiarkan hamba-hamba-Nya meraba-raba di muka bumi ini tanpa buku panduan.

16- Menjadikan diri kita patuh, setia serta taat hanya kepada-Nya sahaja.

Sementara maksud korban pula, ia merupakan istilah daripada bahasa Arab yang bererti hampir/dekat, iaitu ibadat korban dengan menyembelih binatang ternakan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim ke atas anaknya Nabi Ismail.

Korban binatang ternakan adalah dikira sebagai satu ibadat kepada Allah SWT, apabila ia disebut sebagai ibadat, sudah pasti ibadat itu sendiri tidak dapat menerima perlakuan maksiat ketika ibadat korban sedang berlangsung.

Sebagai contoh, apabila seorang wanita itu berniat untuk menunaikan ibadat solat, lengkap dengan mengambil wuduk serta tempat solat yang suci dari sebarang najis yang nyata, tetapi ketika dia melakukan solat, dia bersolek atau memakai baju kebaya yang mendedahkan auratnya, apakah kita dapat menerima hakikat yang mengatakan ibadat solatnya itu sah dan diterima di sisi Allah kerana ibadatnya bercampur dengan maksiat kepada Allah.

Begitulah dengan ketegasan Allah SWT yang menjelaskan dalam ayat 37 surah al-Haj yang bermaksud : Daging-daging (unta, lembu, kambing) dan darahnya yang dikorbankan itu, sekali-kali tidak mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya.

Jelas dari apa yang ditegaskan Allah dalam ayat tersebut di atas, sesuatu amalan ibadat korban dengan menyembelih binatang-binatang ternakan pada hari raya itu hanya diterima dari mereka yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT.

Dalam ayat 27 surah al-Maidah pula Allah berfirman yang bermaksud : Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.

Persoalan di sini, adakah orang yang berkorban binatang ternakan pada hari raya korban dengan penampilan macam orang yang tidak beriman boleh dikategorikan sebagai bertakwa kepada Allah?.

Sepatutnya mereka perlu tahu keadaan dan tempat yang membezakan diri mereka pada waktu ibadat korban dijalankan, sebenarnya penampilan mereka itu memperlihatkan kecetekan ilmu yang ada pada diri mereka sendiri, malah memberi ruang kepada orang lain menghukumnya sebagai seorang warga kota yang tidak peka amalan serta ajaran agama.

Tetapi apakah sebenarnya takwa itu yang membezakan antara kita dengan mereka yang kurang peka terhadap Islam?

Takwa seperti yang pernah dijelaskan oleh Saidina Ali Bin Abi Talib ialah : Takut kepada Allah Yang Maha Mulia, beramal dengan isi kandungan al-Quran, reda dengan apa yang sedikit ada pada kita dan bersiap untuk hari pembalasan untuk bertemu dengan Allah.

Takwa juga menurut sebahagian ulama ialah membersihkan diri dari sifat-sifat terkeji dan melaksanakan segala tuntutan agama Allah SWT.

Selanjutnya, sesuatu ibadat itu tidak diterima di sisi Allah melainkan dilakukan atas dasar ilmu dan kefahaman yang mendalam seperti yang telah disyaratkan dalam ilmu Usul Fiqh.

Kesimpulannya, ibadat mesti dilakukan dengan rasa rendah diri kepada Allah dan menerusi kemantapan ilmu yang diwariskan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Perkara yang perlu dielak ketika menyertai ibadat korban sebagai renungan dan peringatan :

1- Tidak memakai seluar pendek.
2- Tidak bersolek atau memakai baju kebaya belah.
3- Tidak merokok ketika ibadat korban dijalankan.
4- Tidak bercakap pada perkara dunia semasa mata pisau diletakkan atas leher binatang sembelihan.
5- Tidak memakai baju yang tertera tulisan Tiger, Carlsberg, Sports Toto, Magnum ENE, Guinness, Akademi Fantasia, Mentor, One In A Million, Malaysian Idol atau pakaian sukan yang tertera nama-nama pemain bolasepak yang beragama Kristian dan sebagainya.
Apa yang penting, hayati ibadat korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim ke atas anaknya Nabi ismail sebagai iktibar berguna meniti jalan takwa kepada Allah.

 (Artikel dipetik dari Harakah.)


Kami dengan penuh rasa rendah diri mengucapkan Selamat Menyambut Aidil Adha untuk semua kaum muslimin dan muslimat. Semoga dengan ibadah korban yang kita jalankan pada tahun ini diterima oleh Allah dan sebagai latihan untuk kita mengikhlaskan diri dalam beribadah.

Wassalam...

Wednesday, November 18, 2009

Help Nabilah Huda face Leukimia!


 
 
Berita penderitaan saudari Nabilah Huda binti Zaim (anak kepada saudara Zaim bin Shaari, ahli Jawatankuasa Pusat ISMA) yang menghidap penyakit leukemia sejak setahun yang lepas terus menarik perhatian ramai pihak. Terbaru saudari Nabilah Huda akan menjalani pembedahan pemindahan tulang sum-sum pada bulan Disember ini. Kos pembedahan ialah sebanyak RM70,000 (RM50,000 untuk pembedahan dan RM20,000 untuk rawatan susulan).

Sehubungan dengan itu, Media ISMA telah melancarkan kempen Tabung Bantuan Nabilah Huda sebagai usaha mengumpulkan bantuan kewangan untuk membiayai kos pembedahan beliau. Sumbangan daripada para dermawan bolehlah dibankkan terus ke akaun Maybank Zaim bin Shaari 162517025794. Untuk sebarang pertanyaan, boleh berhubung terus dengan saudara Zaim di talian 013-3521226.

Saudari Nabilah Huda Binti Zaim merupakan pelajar tajaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang sedang menuntut dalam jurusan Syariah di University of Yarmuk, Irbid yang terletak kira-kira 150 km ke utara dari Amman, Jordan. Media ISMA mendoakan agar saudari Nabilah Huda dan keluarganya dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang berpanjangan sepanjang melalui ujian daripada Allah SWT ini.

Sunday, November 8, 2009

Sejarah Ringkas Kolej Islam Sultan Alam Shah



Sejarah Ringkas Kolej Islam Sultan Alam Shah


Kolej ini ditubuhkan pada 1374H/ 1955M. Nama sebenarnya pada waktu itu ialah Kolej Islam Malaya. Ia didirikan di atas sebidang tanah seluas 14.3 ekar yang terletak di Jalan Kota Raja kira- kira setengah kilometer dari Bandar Klang. Kolej ini pada asalnya adalah sebuah istana yang kemudiannya diwakafkan oleh Almarhum Sultan Hishamuddin Ibni Almarhum Sultan Sulaiman. Baginda amat berharap kolej ini dapat melahirkan ulama-ulama yang bertaqwa kepada Allah dan seterusnya menerangi masyarakat Malaysia ini dengan roh-roh Islam serta menghapuskan segala bentuk jahiliah dan kekufuran yang ada.

Pada tahun 1386H/ 1966M, Kursus Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya telah dipindahkan ke bangunannya yang baru di Petaling Jaya dan seterusnya ke Bangi menjadi Fakulti Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Namun begitu kursus persediaannya masih ditinggalkan di Klang. Pada tahun 1967, kolej ini telah diambil oleh Kementerian Pendidikan dan menjadikannya sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan yang diberi nama Kolej Islam Klang. Akhirnya pada tahun 1972, ia telah diangkat menjadi sebuah Sekolah Berasrama Penuh lengkap dengan pelbagai kemudahan sehingga ke hari ini. Kemudian pada tahun 1989, Kolej Islam Klang telah ditukarkan namanya kepada Kolej Islam Sultan Alam Shah oleh Almarhum Sultan Salahuddin Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor Darul Ehsan.

Walaupun terdapat sedikit perubahan pada Kolej Islam Malaya dahulu dengan Kolej Islam Sultan Alam Shah sekarang ini, namun ia masih berpegang teguh dengan risalah dan dasarnya pada firman Allah (fastaqim kama umirta) yang berasal dari ayat 112 Surah Hud yang bermaksud : “Tetapkanlah (Istiqamah) atas jalan lurus sebagaimana diperintahkan”. Ia merupakan arahan kepada penghuninya agar melaksanakan perintah dan ketetapan Allah supaya berfungsi sebagai agen penyedar masyarakat daripada segala kekufuran. Arahan ini terpampang pada lencana yang tersemat utuh pada pendokongnya sehingga ke akhir hayat.

Hasrat Murni

Hasrat Sultan Selangor untuk menubuhkan sebuah institusi pendidikan tinggi Islam di negeri Selangor telah timbul sebelum penubuhan Kolej Islam SeMalaya lagi. Justeru cadangan untuk menubuhkan Kolej Islam Malaya diperjuangkan oleh intelektual Islam telah mendapat perhatian yang serius oleh baginda Sultan Selangor.

“keprihatinan Baginda dapat dilihat dengan inisiatif baginda mewakafkan tanah serta bangunan istananya di Kampung Jawa untuk dijadikan tapak Kolej Islam Malaya pada 1955. Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah adalah seorang sultan yang alim dan suka akan Islam. Baginda selalu solat berjemaah di Masjid Diraja Sultan Sulaiman Klang. Kadangkala baginda turut menyampaikan khutbah Jumaat di masjid berkenaan”

(wawancara dengan Yang Mulia Tengku Abdul Samad Shah al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaidin Sulaiman Shah, kerabat diraja Selangor pada 26 Ogos 1999)

Hasil usaha dan permuafakatan erat semua lapisan masyarakat, daripada golongan marhaen, para petani, nelayan dan buruh sehinggalah golongan aristokrat, Raja-raja melayu, golongan hartawan, akhbar serta golongan bukan Islam akhirnya merealisasikan cita-cita untuk mempunyai sebuah pusat agama tertinggi untuk perkembangan agama Islam di negara ini. Kesediaan Raja-raja Melayu menghulurkan bantuan dan memberi sokongan padu terhadap penubuhan Kolej Islam khususnya Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah sendiri yang sanggup mewaqafkan Istana Jemaah sebagai tapak untuk melahirkan golongan ulama’ pewaris Nabi mencerminkan betapa murni dan tingginya harapan Keluarga Diraja Selangor untuk melihat kecemerlangan dan kegemilangan agama Islam.

Kegigihan Pelopor Kolej Islam

Kolej Islam Malaya telah memulakan sesi pengajian pada 24 Februari 1955, di bangunan Istana Jemaah Kampung Jawa, Klang. Sewaktu penerimaan pelajar seramai 43 orang yang mendaftarkan diri pada tarikh tersebut, Professor Zulkifli Muhammad berkata:

“kolej ini akan menjadi sebagai satu benih yang akan menghasilkan buah di masa hadapan untuk bangsa Islam negeri ini, dan seterusnya untuk keamanan dunia seluruhnya. Di kolej inilah terletak tinggi rendahnya, baik buruknya dan mundur majunya agama Islam kita yang maha suci ini”

(Prof Zulkifli Muhammad dalam Utusan Melayu, 25 Feb 1955)

Para pelajar ini telah dididik oleh pensyarah-pensyarah tempatan dan dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Sepanjang sejarah dan sehingga kini, Kolej Islam didatangi kelompok terbaik dari lepasan sekolah agama dan melahirkan pula tokoh-tokoh nasional dalam pelbagai bidang keahlian dan kerjaya. Kolej Islam sentiasa membawa nama baik Darul Ehsan dan Bandar Diraja Klang ke mercu pencapaian dan kecemerlangan sejajar dengan cogan kata Kolej Islam itu sendiri.

Falsafah KISAS

Kolej Islam Sultan Alam Shah mempunyai falsafahnya yang tersendiri. Antaranya ialah:

  1. Memajukan pelajaran Agama Islam dan Bahasa Arab yang amat diperlukan oleh masyarakat kita sekarang ini sebagai satu usaha bagi menyediakan benteng ilmu demi keutuhan Islam.
  2. Mendidik para pelajar agar bertaqwa, berakhlak mulia, dan berbudi pekerti serta berkeperibadian Islam yang sejati dan berjiwa pendakwah yang sanggup menghadapi segala permasalahan umat.
  3. Memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari mata pelajaran Al-quran dan As-Sunnah yang merangkumi segenap aspek kehidupan manusia sejagat.
  4. Melahirkan generasi yang berdisiplin, dedikasi, muhibbah, harmoni dan persaudaraan Islam.
  5. Menanamkan semangat jihad dan bertanggung jawab terhadap masyarakat dan negara
  6. Memberi latihan kepimpinan berlandaskan Islam.

Cogankata

“Sentiasa berpegang teguh dan beramal dengan Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW”

Matlamat

“Untuk melahirkan pemimpin yang berilmu dan bertaqwa”

Friday, November 6, 2009

Al-fatihah untuk arwah ayah Irfan Zaini Zainuddin





Doa
Kudus
syahdu
di subuh
sunyi;

tulus
doaku
sepenuh
hati.


Dr Hj Zainuddin Jaafar - ex spmkik78, mantan YDP PIBG KISAS telah kembali ke rahmatullah di Brunei pada 25 Okt 2009 M bersamaan dengan 6 Zulkaedah 1430 H