Sejarah Ringkas Kolej Islam Sultan Alam Shah
Kolej ini ditubuhkan pada 1374H/ 1955M. Nama sebenarnya pada waktu itu ialah Kolej Islam Malaya. Ia didirikan di atas sebidang tanah seluas 14.3 ekar yang terletak di Jalan Kota Raja kira- kira setengah kilometer dari Bandar Klang. Kolej ini pada asalnya adalah sebuah istana yang kemudiannya diwakafkan oleh Almarhum Sultan Hishamuddin Ibni Almarhum Sultan Sulaiman. Baginda amat berharap kolej ini dapat melahirkan ulama-ulama yang bertaqwa kepada Allah dan seterusnya menerangi masyarakat Malaysia ini dengan roh-roh Islam serta menghapuskan segala bentuk jahiliah dan kekufuran yang ada.
Pada tahun 1386H/ 1966M, Kursus Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya telah dipindahkan ke bangunannya yang baru di Petaling Jaya dan seterusnya ke Bangi menjadi Fakulti Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Namun begitu kursus persediaannya masih ditinggalkan di Klang. Pada tahun 1967, kolej ini telah diambil oleh Kementerian Pendidikan dan menjadikannya sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan yang diberi nama Kolej Islam Klang. Akhirnya pada tahun 1972, ia telah diangkat menjadi sebuah Sekolah Berasrama Penuh lengkap dengan pelbagai kemudahan sehingga ke hari ini. Kemudian pada tahun 1989, Kolej Islam Klang telah ditukarkan namanya kepada Kolej Islam Sultan Alam Shah oleh Almarhum Sultan Salahuddin Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor Darul Ehsan.
Walaupun terdapat sedikit perubahan pada Kolej Islam Malaya dahulu dengan Kolej Islam Sultan Alam Shah sekarang ini, namun ia masih berpegang teguh dengan risalah dan dasarnya pada firman Allah (fastaqim kama umirta) yang berasal dari ayat 112 Surah Hud yang bermaksud : “Tetapkanlah (Istiqamah) atas jalan lurus sebagaimana diperintahkan”. Ia merupakan arahan kepada penghuninya agar melaksanakan perintah dan ketetapan Allah supaya berfungsi sebagai agen penyedar masyarakat daripada segala kekufuran. Arahan ini terpampang pada lencana yang tersemat utuh pada pendokongnya sehingga ke akhir hayat.
Hasrat Murni
Hasrat Sultan Selangor untuk menubuhkan sebuah institusi pendidikan tinggi Islam di negeri Selangor telah timbul sebelum penubuhan Kolej Islam SeMalaya lagi. Justeru cadangan untuk menubuhkan Kolej Islam Malaya diperjuangkan oleh intelektual Islam telah mendapat perhatian yang serius oleh baginda Sultan Selangor.
“keprihatinan Baginda dapat dilihat dengan inisiatif baginda mewakafkan tanah serta bangunan istananya di Kampung Jawa untuk dijadikan tapak Kolej Islam Malaya pada 1955. Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah adalah seorang sultan yang alim dan suka akan Islam. Baginda selalu solat berjemaah di Masjid Diraja Sultan Sulaiman Klang. Kadangkala baginda turut menyampaikan khutbah Jumaat di masjid berkenaan”
(wawancara dengan Yang Mulia Tengku Abdul Samad Shah al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaidin Sulaiman Shah, kerabat diraja Selangor pada 26 Ogos 1999)
Hasil usaha dan permuafakatan erat semua lapisan masyarakat, daripada golongan marhaen, para petani, nelayan dan buruh sehinggalah golongan aristokrat, Raja-raja melayu, golongan hartawan, akhbar serta golongan bukan Islam akhirnya merealisasikan cita-cita untuk mempunyai sebuah pusat agama tertinggi untuk perkembangan agama Islam di negara ini. Kesediaan Raja-raja Melayu menghulurkan bantuan dan memberi sokongan padu terhadap penubuhan Kolej Islam khususnya Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah sendiri yang sanggup mewaqafkan Istana Jemaah sebagai tapak untuk melahirkan golongan ulama’ pewaris Nabi mencerminkan betapa murni dan tingginya harapan Keluarga Diraja Selangor untuk melihat kecemerlangan dan kegemilangan agama Islam.
Kegigihan Pelopor Kolej Islam
Kolej Islam Malaya telah memulakan sesi pengajian pada 24 Februari 1955, di bangunan Istana Jemaah Kampung Jawa, Klang. Sewaktu penerimaan pelajar seramai 43 orang yang mendaftarkan diri pada tarikh tersebut, Professor Zulkifli Muhammad berkata:
“kolej ini akan menjadi sebagai satu benih yang akan menghasilkan buah di masa hadapan untuk bangsa Islam negeri ini, dan seterusnya untuk keamanan dunia seluruhnya. Di kolej inilah terletak tinggi rendahnya, baik buruknya dan mundur majunya agama Islam kita yang maha suci ini”
(Prof Zulkifli Muhammad dalam Utusan Melayu, 25 Feb 1955)
Para pelajar ini telah dididik oleh pensyarah-pensyarah tempatan dan dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Sepanjang sejarah dan sehingga kini, Kolej Islam didatangi kelompok terbaik dari lepasan sekolah agama dan melahirkan pula tokoh-tokoh nasional dalam pelbagai bidang keahlian dan kerjaya. Kolej Islam sentiasa membawa nama baik Darul Ehsan dan Bandar Diraja Klang ke mercu pencapaian dan kecemerlangan sejajar dengan cogan kata Kolej Islam itu sendiri.
Falsafah KISAS
Kolej Islam Sultan Alam Shah mempunyai falsafahnya yang tersendiri. Antaranya ialah:
- Memajukan pelajaran Agama Islam dan Bahasa Arab yang amat diperlukan oleh masyarakat kita sekarang ini sebagai satu usaha bagi menyediakan benteng ilmu demi keutuhan Islam.
- Mendidik para pelajar agar bertaqwa, berakhlak mulia, dan berbudi pekerti serta berkeperibadian Islam yang sejati dan berjiwa pendakwah yang sanggup menghadapi segala permasalahan umat.
- Memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari mata pelajaran Al-quran dan As-Sunnah yang merangkumi segenap aspek kehidupan manusia sejagat.
- Melahirkan generasi yang berdisiplin, dedikasi, muhibbah, harmoni dan persaudaraan Islam.
- Menanamkan semangat jihad dan bertanggung jawab terhadap masyarakat dan negara
- Memberi latihan kepimpinan berlandaskan Islam.
Cogankata
“Sentiasa berpegang teguh dan beramal dengan Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW”
Matlamat
“Untuk melahirkan pemimpin yang berilmu dan bertaqwa”